Mari bacE

Tuesday, January 12, 2010

MCA Kelantan Tubuh Pasukan Dikir Barat 1Malaysia





KOTA BHARU, 11 Jan (Bernama) -- Atas semangat perpaduan, MCA Kelantan akan menubuhkan pasukan dikir barat 1Malaysia yang akan menyanyikan lagu asli dikir barat di dalam bahasa pelbagai kaum di negara ini termasuk bahasa Siam.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata MCA Kelantan telah mengumpul 100 pemuda daripada pelbagai kaum untuk menganggotai pasukan dikir barat itu.

"Persembahan pertama mereka akan dibuat pada 19 Feb malam nanti, sempena sambutan Tahun Baru di Kelantan," kata Dr Ng yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Kelantan dan Naib Presiden MCA kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan MCA negeri, Isnin.

Beliau berkata seni dikir barat merupakan nyanyian berkumpulan tradisional bagi orang Melayu di Kelantan, tetapi kali ini MCA ingin membawa perbezaan atas semangat 1Malaysia.

"Ianya akan diwakili oleh orang India, Cina, Siam dan lain-lain lagi kaum untuk melambangkan perpaduan di dalam perkongsian budaya," katanya.

Mengenai mesyuarat hari ini, Dr Ng berkata MCA Kelantan bersetuju untuk mengambil pendekatan proaktif dalam membantu polis untuk melindungi mana-mana rumah ibadat.

"Barisan Nasional tidak boleh terima tindakan seperti merosakkan rumah ibadat orang lain. Justeru kita akan berganding bahu untuk pastikan keselamatan terjamin," katanya.

Tujuh buah gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak serta sebuah gereja dan pos pengawal Sekolah Menengah Convent di Taiping, Perak menjadi sasaran cubaan membakar setakat ini.

Mengenai kemelut MCA, Dr Ng berkata pada pandangannya krisis dalaman MCA kini sudah tenang dengan pemimpin lebih fokus kepada tanggungjawab mereka kepada rakyat daripada menumpukan isu berkenaan.

"Semua pemimpin sudah sibuk jalankan tugas mereka sebagai Menteri dan Timbalan Menteri," katanya.

Beliau berkata isu kemelut dalaman itu telah diserahkan kepada pengurusan parti peringkat pusat untuk diselesaikan.


BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...